Translate

Selasa, 6 Disember 2016

KENANGAN TERINDAH DI ROYAL BELUM

ROYAL BELUM.
Ramai yang ingat bahawa Hutan Amazon merupakan hutan yang paling tua di dunia memandangkan keluasan Hutan Amazon berkali ganda lebih luas dari Hutan Belum di Perak, dan sering dipropagandakan oleh media asing sebagai yang paling hebat di dunia.
Namun, bukti saintifik dan sejarah sukar untuk ditidakkan. Ternyata usia Hutan Belum lebih tua dari Hutan Amazon iaitu 130 juta tahun, malah kebanyakkan hutan hujan di negara kita mempunyai usia yang lebih lama dari usia Hutan Amazon. Negara kita sebenarnya menyimpan khazanah yang lebih berusia dan lebih bernilai.
Hutan ini diberikan nama The Royal Belum kerana biodiversiti yang ada di dalamnya, dan beberapa penemuan-penemuan alam yang tak terdapat di tempat lain menjadikan ia istimewa. Hutan ini diletakkan di bawah pengawasan tentera dan orang awam tidak dibenarkan memasukinya tanpa permit.
Keluasan Hutan Royal Belum adalah 290,000 hektar dan dibahagikan kepada bahagian atas dan bahagian bawah. Bahagian atas hutan belum ini ditutupi oleh 117, 500 hektar kawasan hutan yang tebal dan memasuki sempadan Thailand-Malaysia. Manakala, bahagian bawah merupakan hutan sekunder.

Beberapa Fakta dan Info Menarik Mengenai Hutan Royal Belum
1) Diisytiharkan sebagai Royal Belum oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2003.
2) Royal Belum diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh Kerajaan Perak pada 17 April 2007.
3) Kawasan diwartakan seluas 117,500 hektar.
4) Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat.
5) Dikenal pasti sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana menjadi tempat perlindungan gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir.
6) Nama Royal Belum di ambil dari bunyi seekor belalang besar yang menghuni hutan ini. Bunyi yang di hasilkan berbunyi belum...belum..belum!
7) Royal Belum mempunyai tiga dari 20 spesies bunga terbesar dunia itu di mana salah satu daripadanya dinamakan Azlanii sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. 

Sumber: Majlis Daerah Gerik, Perak.

TRIP 2/12/16 HINGGA 4/12/16
Dengan kerjasama dari beberapa kelab seperti TEAM RANDUK CASTER (TRC),SHADOW ANGLER TEAM,ALAHAI JORAN,TANAH MERAH ANGLERS TEAM,BCMC-X GROUP dan GKP (PCD) telah merancang untuk mengadakan satu ekspedisi ke Royal Belum. Seramai 24 orang peserta telah bersiap sedia untuk mengharungi cabaran Royal Belum kali ini.
Persiapan rapi telah di buat selama 6 bulan. Masing-masing teruja dan tidak sabar hendak kesana. Trip ini di kelola oleh Haizulizuan Rosli Hilmi dan Wan Haniff.



HARI PERTAMA
Hari yang di tunggu telah tiba. Saya dan rakan-rakan bergerak dari Selayang dalam pukul 11 malam. Kami berkongsi kenderaan. Jimat tenaga dan wang. maklum lah minyak mahal sekarang. Cara begini lebih baik dari pergi perseorangan. Rakan-rakan yang lain pun sama ada yang dari Kelantan,Pahang dan Pulau Pinang. Kami suka berjalan malam kerana cuaca sejuk dan kenderaan yang kurang di jalan raya. Kira keselamatan dan pemanduan dalam keadaan selesa dan lancar. Kami telah merancang berkumpul di RnR Sungai Perak yang mana sehaluan dengan kami dan selebih nya di Gerik nanti.
Perjalanan kami agak perlahan sedikit kerana hari hujan. Keadaan jalan yang basah. Membuat saya memandu dengan lebih berhati-hati. Perjalanan kami ke RnR Sungai Perak di anggarkan dalam 5 jam. Hujan dari Selangor sampai ke Perak.
Bila sudah sampai ke RnR. kami melepaskan lelah dan berehat sambil menunggu rakan yang lain tiba. Bila semua sudah tiba dan berehat,kami memulakan perjalanan ke Gerik pula. Anggaran masa dalam sejam setengah perjalanan.




Di Gerik kami sarapan dan menunggu rakan-rakan lain dari Pulau Pinang.
Bila semua dah sampai baru lah kami bergerak ke jeti Tasik Banding. 


Dimana kami akan bertukar pengangkutan. Royal Belum di pisah kan dengan Tasik Banding. Jadi nya pengangkutan kedua kami bot-bot yang di sediakan oleh pemandu pelancong.
Setelah barang-barang keperluan dan beg telah di masukkan di dalam bot. Kami bersiap bergerak ke destinasi kami di Sungai Kejar. 






Dalam perjalanan. Masing-masing menikmati pemandangan sambil bergurau-senda. Alhamdulillah semua rakan-rakan dapat menyesuaikan diri walaupun tidak kenal sebelum ini tetapi hubungan antara kami bagaikan bertahun sudah berkenalan.




Cuaca hari pertama kami di sana agak sejuk dan mendung. Dalam perjalanan,gerimis mengiringi kumpulan kami ke Sungai Kejar. Saya rasakan perjalanan kali ini agak mencabar dari sebelum ini.
Tapi saya tengok rakan-rakan lain bersemangat dan tidak sabar untuk kesana.
Perjalanan kami agak perlahan kerana semakin dekat dengan Sungai Kejar semakin kuat arus sungai. Bot terpaksa di bawa dengan berhati-hati kerana risau jika ada kayu atau batu di hadapan. Keadaan air sungai pun keruh berkeladak. Kemungkinan kepala air telah turun. Paras air pun tinggi sebabnya tekong memberitahu sebelum ini paras air amatlah cetek disebabkan musim panas tanpa hujan yang panjang.
Ada rasa bimbang juga di hati. Saya berdoa harap tiada kejadian tidak diingini berlaku.






 Hujan renjai membasahi kami. Bila sampai di Sungai Kejar barulah terasa lega di hati. Kami segera memunggah barang kerana hujan semakin lebat dan air sungai mengalir deras. Kumpulan kami berteduh di kem yang ada di sungai kejar sementara menunggu hujan reda.




Pemandu arah yang membawa kami berkata air sungai deras dan tidak boleh menyeberang dan terpaksalah kami membuka jalan baru di sebelah kanan sungai. Kami memulakan perjalanan setelah hujan reda dan jalan yang kami lalui amatlah sukar dan merbahaya. jika tergelincir boleh menyebabkan kami cedera atau lemas. Kami terpaksa lebih berhati-hati ketika melangkah dan perjalanan kami agak perlahan. Ramai di antara kami mula keletihan kerana membawa beban yang berat. Tetapi semangat untuk meneruskan perjalanan amat kuat. Saya sendiri beberapa kali terjatuh kerana jalan licin dan keletihan. Hujan turun tapi tidak lebat. Perjalanan sepatutnya mengambil masa tidak sampai setengah jam menjadi dua jam lebih. Akhirnya selepas bersusah-payah kami semua berjaya sampai ke tapak perkhemahan. Perasaan lega dan bersemangat kembali di dalam diri.





Sampai saja di tapak perkhemahan kami terus mendirikan khemah memandangkan hujan renyai-renyai masih turun. Takut nanti hujan lebat. Bila khemah semua sudah di dirikan dan bekalan makanan telah dikumpul. Ada sebahagian rakan-rakan terus memasak makan malam. Maklumlah,masing-masing dalam kelaparan dan keletihan. Kami membersihkan diri dan makan bersama-sama. 





Hari semakin gelap dan tiada aktiviti memancing dilakukan buat masa ini. Rakan-rakan semua berehat di khemah. Masing-masing masih terasa kepenatan kerana perjalanan kami yang mencabar. Dalam pukul 10 malam, baru ada di antara kami merancang untuk memancing ikan baung. Masa ni hujan sudah berhenti. Pemandu arah kami memberitahu air sungai sudah mula cantik dan sesuai untuk memancing ikan baung. Keadaan hutan gelap dan sunyi hanya deruan air jeram dan bunyi unggas berkumandang. Saya sendiri pun turun memancing. Setelah berehat dan badan telah bertenaga kembali. Berumpankan cacing yang rakan cari,malam tu kami berpesta ikan baung. Hasil yang kami dapat ada dekat sekilo lebih. Berlauklah kami untuk esok. Hari makin gelap dan sejuk. Jam sudah menunjukkan pukul 12 malam. Saya sendiri berat mata. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk tidur memandangkan rakan-rakan telah beransur pulang ke khemah masing-masing. Esok niat di hati hendak pergi ke ketir....




HARI KEDUA
Saya bangun seawal 6 pagi. Selepas membersihkan diri dan sarapan, saya bersiap-siap hendak memulakan perjalanan ke ketir. Rindu benar dengan ketir. Disana ada air terjun dan penghuni yang menarik seperti sebarau dan kelah. Cuaca hari ini agak mendung. Harap tidak hujan hari ini. Air sungai pun tidak keruh seperti semalam. Cuma agak deras dan dalam. Kumpulan kami berpecah ada yang menuju ke hilir sungai dan ada yang naik ke hulu. Saya telah bercadang untuk naik ke hulu sungai memandangkan niat di hati ingin ke ketir. 




Sambil menuju ke sana saya memulakan aktiviti mengilat. Mana tahu ada sebarau yang sedang menghendap anak-anak ikan. Tapi malangnya tiada sambutan atau getuan dari ikan target. Rakan-rakan yang lain pun sama. Saya meneruskan perjalanan sehingga  sampai satu selekoh sungai. Masa ni Adam,Din dan Azman pun ada sekali. Di sini Adam telah berjaya menaikkan seekor sebarau.


Selepas itu keadaan sunyi kembali. Setelah mencuba beberapa kali di sini,kami bercadang untuk pergi ke ketir. Memandangkan tiada guide yang mengikuti kami,kami bercadang untuk pergi sendiri mengikut laluan denai yang kami lihat. Semakin kami panjat semakin hilang arah denai. Akhirnya,kami mengambil keputusan untuk berpatah balik kerana khuatir akan tersesat. Kami berpatah balik ketempat perjumpaan kami sebentar tadi. Adam dan Din telah berpecah meninggalkan saya dan Azman menuju ke hilir sungai. Saya terus melakukan aktiviti mengilat bersama Azman. Alhamdulillah..seekor sebarau berjaya saya naikkan di situ. Selepas bergambar,Azman pula meninggalkan saya mengikut Adam dan Din. Saya masih terus mengilat kerana percaya masih ada sebarau lagi di tempat yang saya dapat memandangkan di situ airnya agak tenang. Tetapi tiada getuan dari ikan target.




Tidak lama kemudian pemandu arah yang bernama Helmi telah datang kepada saya dan saya mengajak beliau pergi ke ketir memandangkan rakan-rakan yang lain masih di bawah dan hari sudah tengahari. Helmi pun terus mengiyakan permintaan saya. Kami terus pergi ke hentian terakhir dan mendaki bukit. Perjalanan kami agak sukar kerana perlu melalui jurang setinggi bangunan 5 tingkat. Dalam masa mendaki saya telah jatuh kerana batu yang saya paut tidak kukuh. Nasib baik ada pokok di belakang saya tapi malangnya batu-batu yang saya paut tadi telah jatuh dan menimpa kedua belah peha. Batu tersebut besar lebih kurang sebesar helmet. Terdiam saya menahan kesakitan. Helmi kelihatan cemas melihat keadaan saya. Kedua belah peha saya terasa kebas. Saya meminta untuk berehat sebentar untuk menghilangkan rasa sakit. 


Tidak lama kemudian saya telah memulakan perjalanan yang tertangguh. Sampai sahaja di bawah berhampiran sungai,Helmi memberitahu saya jalan yang kami lalui jalan mati. Helmi mencadangkan kami mendaki semula. Memandangkan saya baru lepas terjatuh. Tanpa berfikir panjang,saya terus mencadangkan kami berenang melintasi sungai. Helmi memandang saya dan berkata "abang pandai berenang ke?". Saya mengiyakan soalan Helmi tadi. Helmi mencadangkan mencari tempat yang sesuai untuk menyeberang. Sampai sahaja tempat yang agak tenang. Helmi terus berenang menyeberangi sungai dan berjaya melintasi nya. Giliran saya pula untuk menyeberang. Saya telah bersiapkan diri dan menyimpan barang-barang kedalam beg. Bila saya yakin...saya terus melompat dan berenang tapi agak malang,momentom renangan saya tiada. Sebabnya tangan sebelah kanan saya memegang batang pancing. Saya telah dihanyutkan air. Saya terus berenang ke tepi semula. Saya naik keatas tebing dan bergerak kedepan lagi yang agak tenang untuk percubaan kedua. Bila saya rasa sudah bersedia,saya pun terus terjun. Kali ini batang pancing saya,saya letakkan di dalam baju sebelah belakang. Saya ikat dengan selendang celoreng yang saya bawa. Malangnya percubaan kedua gagal juga. Kali ni saya lemas. Aliran air sungai agak deras. Saya tenggelam timbul. Dasar sungai pun dalam. Amat menyukarkan saya untuk ke tepi. Tapi saya tidak panik. Saya cuba merapatkan diri ke tebing sungai. Akhirnya...dengan bersusah-payah saya telah berjaya berpaut pada ranting pokok yang terjuntai ke dalam air. Bila saya sudah naik ke tebing. Saya terasa sungguh penat dan tidak bermaya. Bila keadaan begini berlaku,saya sudah tidak dapat berfikir lagi. Helmi mengarahkan saya terus naik ke hulu sungai. Kami jalan beriringan di kiri kanan sungai. Akhirnya,Helmi telah terjumpa rakit di hulu sungai. Helmi menyuruh saya mengambil rakit tersebut. Saya lihat rakit itu masih baru di buat. Saya rasa mesti ada pemiliknya berhampiran. Saya tinjau di kawasan tersebut dan terlihat ada khemah tidak jauh dari rakit tadi. Kemungkinan khemah orang asli. Saya terus pergi ke khemah tersebut untuk meminta bantuan. Tapi tiada seorang pun kelihatan. Saya menjerit tapi tiada balasan. Akhirnya...kerana tiada seorang pun yang muncul,saya pun mengambil rakit dan menyeberang sungai. Setelah sampai di seberang,saya dan Helmi menambat rakit tersebut untuk di gunakan semasa pulang nanti.



Saya memberitahu kepada Helmi,saya ingin pergi ke ketir juga setelah bersusah-payah begini. Helmi pun setuju dengan keputusan saya. Kami pun bergerak menuju ketir. Semasa dalam perjalanan,saya berhenti di satu selekoh sungai untuk mengilat. Bila saya ingin memasang umpan,baru lah saya sedar kotak gewang saya telah tiada. Kotak gewang itu saya selit di dalam seluar fit yang saya pakai. Terus saya hilang semangat kerana semua gewang yang sesuai untuk kawasan air deras/jeram telah tiada. Saya buntu. Hendak di cari entah kemana pergi. Lama juga saya di situ. Akhirnya,saya mengambil keputusan untuk pulang ke kawasan perkhemahan. Kali ni perjalanan tidak seteruk tadi. Cuma kami terpaksa lalu di kawasan yang berjeram. Bila sampai ke kawasan perkhemahan, rakan-rakan lain terkejut dengan cerita malang yang terjadi kepada saya. Rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja yang di timpa musibah. Adam pun kehilangan kotak gewang kerana cuba menyelamatkan Din yang lemas kerana ingin menyeberang untuk mengikuti saya. Saya rasa bersalah sebab tidak  menunggu rakan-rakan yang lain. Memang masa tu saya terasa kecewa dan hilang semangat. Tapi saya cuba selindungkan. Adam pun sama. Kami cuba mengembirakan hati dengan ketawa dan bergurau. Cuma ada masa tertentu saya buat acuh tidak acuh pada gurau senda rakan-rakan yang lain. Perasaan kecewa itu amat menyakitkan hati. Saya banyak berdiam dari bersuara. Lama jugak berkeadaan begitu. Bila saya memotivasi diri dengan mengatakan itu bukan rezeki saya dan ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Saya mula ada bersemangat tetapi semangat untuk memancing sudah tiada. Yang ada semangat bersama rakan-rakan sahaja. Saya cuba melupakan dengan cara menolong rakan membersihkan ikan untuk dijadikan lauk makan malam kami. Saya hidupkan unggun api dan bersembang dengan rakan-rakan.





Hari itu saya dapat seekor sahaja sebarau tetapi rezeki kami murah sebab rakan-rakan yang lain pun banyak hasil yang dapat. Ikan yang naik terdiri dari kelah,kejar,terubul dan sebarau. Size pun ada yang cecah sekilo. Alhamdulillah..syukur. 











Malam ini saya tidur awal kerana badan saya sangat letih dan lesu....


HARI KE TIGA (TERAKHIR)
Pagi ini saya bangun dalam pukul 7. Biasa waktu begini saya sudah mula memancing tetapi kali ini saya tidak berbuat apa-apa. Badan pun terasa sakit-sakit. Mungkin di sebabkan saya terjatuh semalam.





Selepas mandi dan sarapan,saya pergi berjumpa Helmi yang sedang mengail di tepi sungai berbual kosong. Helmi memberitahu saya di hilir sungai ada lubuk kelah. Dia mencadangkan saya cuba mancing di sana. Saya mengikut cadangan Helmi memandangkan itu saja yang boleh saya buat. Saya bersiap-siap dan menuju ke tempat yang Helmi beritahu tadi. Setiba di sana,saya lihat sudah ada rakan-rakan yang sedang mengilat. Dengan berbekalkan sawit peram saya pun melabuhkan umpan dan mengharap ada sambaran dari kelah. Tapi malangnya tiada sambutan dari sang kelah. Ramai rakan-rakan telah datang ke situ. Saya rasa baik saya pulang ke tapak perkhemahan kerana tidak mahu mengganggu aktiviti mengilat. Lagi pun hari ini,hari terakhir saya di sini. Jadi saya perlu mengemas beg dan barang-barang. Supaya senang nanti tidak keciciran. 





Sebelum kami berangkat pulang,kami bersama pemandu arah bergotong-royong membersihkan kawasan perkhemahan. Ini adalah satu undang-undang yang di tetapkan supaya Royal Belum tidak tercemar dengan sampah-sarap yang dibawa oleh pengunjung. 



Kali ini perjalanan pulang mudah sahaja kerana kami dapat melalui jalan yang biasa di lalui dan bukan jalan yang kami lalui pada hari pertama. Air sungai sudah mula surut dan tenang memudahkan kami menyeberang kelakuan asal. Sesampai di tempat berkumpul kami beramai-ramai mengambil gambar kenang-kenangan. Masing-masing saya lihat terpancar kepuasan dan kegembiraan.






SELAMAT TINGGAL ROYAL BELUM.
Banyak kenangan telah tercipta di sini selama tiga hari dua malam. Keseronokan,kepuasan,ikatan silaturahim dan kisah duka telah terbina di sini. Kerjasama antara rakan-rakan amat terasa kali ini. Tidak lupa kepada pemandu arah kami Abang Dollah dan Helmi yang banyak memberi tunjuk-ajar,rajin dan peramah dan membuatkan kami rasa berpuas hati serta terharu dengan servis yang kami perolehi. Sebelum berangkat pulang ke rumah masing-masing, kami bersalam-salaman dan memohon maaf. Mana tahu ada kata-kata yang mengguris hati antara kami. Walaupun selama tiga hari bersama terasa ikatan kekeluargaan itu terjalin. Saya sendiri berasa sayu untuk berpisah dengan rakan-rakan. Walaupun berbeza umur dan taraf tapi itu semua bukan penghalang untuk mengukuhkan ukhwah antara kami. Terima kasih kepada ALLAH SWT kerana telah menemukan kami semua. Insyallah,kalau ada rezeki..tahun depan kita berkumpul kembali.